Thursday, January 14, 2010

Kenangan Semasa Kanak Kanak - 2

Oleh kerana pengaruh cerita COMBAT semasa aku kanak kanak begitu kuat sekali mempengaruhi aku dan gang gang yang lain dan kebetulan bersebelahan kampung kami ada satu kem askar Wataniah, kalau tak silap kem 501 yang dijadikan kem latihan askar wataniah membuat latihan, maka kebanyakan permainan kami adalah lebih bercorak kepada peperangan dan outdoor. Ada juga permianan lain yang dimainkan oleh kami seperti galah panjang, bola sepak, police & thief dan lain lain lagi tapi ini adalah permainan biasa bagi kami.

Cara nak buat pistol ini senang aja;
1. Ambil sekeping papan dan lukis bentuk pistol atau senapang seperti yang diinginkan. Lukis dengan kapor tulis la atau marker. Lepas tu potong dengan gergaji. Dalam kes ni, kadang kadang arwah ayah aku sampai mengeleng ngeleng kepala semasa nak guna gergaji sebab mata gergaji tu sampai rongak aku kerjakan....hehehe...!
2. Ambil sekeping kayu kecil yg bersaiz sama seperti tepi papan tersebut untuk dijadikan pengepit peluru. Dibawahnya letakan sebatang besi bulat untuk menbolehkan kayu kecil tu dijongketkan.
3. Lepas tu ambil getah gelang dan lilitkan dihujung kayu kecil pengepit tersebut. Ini membolehkan tekanan kepada hujung penyepit tersebut untuk menahan peluru.
4. Hujung pistol atau senapang dililitkan getah gelang yang panjang untuk didibolehkan ditarik sampai ke pemetik dan disangkutkan pada pelurunya.
5. Peluru - adalah menggunakan peluru terung belanda yang kecil atau buah ceri muda. Buah ceri masak yang warna merah tidak boleh digunakan kerana akan tercabut dari tangkai buah tersebut. Kalau nampak buah ceri merah, jangan digunakan. Sila makan aja buah ceri tersebut...hahahaha..!!!
6. Cara menembak - kepit kan tangkai buah terung belanda atau ceri tersebut ke pemetik dan tarik getah dan sangkutkan pada buah tersebut. Bila hendak menembak, halakan kepada target dan tekan pemetik. Nak sedap halakan pada perut mangsa....sure birat birat punya...hehe!!

Ada juga yang kreatif dengan mengubahsuai pistol dan senapang ini dengan cara menggunakan tiub tayar basikal lalu diikat pada kulit kasut yang telah dipotong macam lastik tu. lepas tu dikepit. Peluru senapang atau pistol yang telah diubah suai ini biasanya menggunakan batu dan target nya kebiasaanya burung, kucing, anjing atau bagi yang nakal, pintu rumah orang.!

Cara bermain pistol diatas adalah sama cara seperti bermain senapang letap letop. Tetapi pakaian adalah berbeza. Kebanyakan pemain pemain mengenakan pakaian tebal dan berlengan panjang. Sebabnya...birat birat badan kalau kena peluru pistol ini...hehehe! Ada juga "askar askar" yang memakai mangkuk dari besi yang sudah bocor kepunyaan ibu mereka dijadikan topi kepala...hahaha...memang lawak muka dema ni masa pakai topi tu.

Peluru senang didapati disekitar kampung kerana buah ceri tumbuh liar dan banyak dikawasan kampung manakala terung belanda juga banyak ditanam...sedap kalau dimasak sambal tumis..!!
Ada satu ketika semasa cuti sekolah, semasa permainan ini masuk musim nya, habis semua pokok terung belanda dikerjakan oleh gang gang aku...mengamuk satu makcik tu..sampai bawa parang kejar budak budak...hahaha! Tu mesti kes tak dapat masak sambal tumis terung belanda.!

Kenangan Semasa Kanak Kanak - 1

Semua orang ada zaman kanak kanak masing masing. Ada yang masih mengingatinya, seperti baru semalam mengalaminya, ada yang tidak ingat dan lupa malah ada juga segelintir yang cuba melupakanya. Bagi aku, zaman kanak kanak adalah satu zaman yang paling menggembirakan, tanpa banyak masaalah seperti zaman orang orang dewasa ini. Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat jua masaalah tetapi ianya adalah lebih kepada masaalah masaalah yang berkait dengan dunia kanak kanak.

Aku telah dilahirkan di kampung Langkor, sebuah kampung diPekan Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Kedua dua orang tua aku adalah dari kalangan keluarga yang berkehidupan yang boleh dikatakan susah dan tidak senang, dengan 4 orang anak dan dengan lahirnya aku maka bertambah lah lagi mulut yang perlu disuap. Kehidupan seharian adalah dengan menoreh getah, bersawah padi dan lain lain kerja rencam di kampung yang boleh mendatangkan rezeki. Setelah 6 - 7 bulan lahirnya aku, Kedua orang tua aku telah membuat keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur dan memulakan kehidupan baru, itu terjadi pada tahun 1967. Maka berpindahlah kedua orang tua aku bersama anak anaknya ke kampung kilat, berhadapan Bengkel Mara, di Kampung Datok Keramat. Dinamakan kampung kilat kerana rumah disitu boleh didirikan dalam masa yang sekejap sahaja, macam kilat...hehehe. Rumahnya disewadengan sewaan yang murah juga. Pada masa itu Kuala Lumpur nama sahaja kota raya, tetapi disekelilingnya dikelilingi oleh kampung kampung Melayu yang dibuka oleh peneroka peneroka 100% melayu dari luar Kuala Lumpur. Setelah menetap beberapa lama disitu, orangtua aku telah membuat rumah di kampung Berembang pada tahun 1968. Rumah yang dibina oleh orang tua aku ini bersebelahan dengan rumah kakak orang tua aku dan rumah anak anak saudaranya serta saudara mara yang lain telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan kebanyakanya datang dari Kuala Kangsar, Perak.

Di kampung Berembang, pada masa itu 100% penduduknya adalah orang melayu yang telah membuat rumah kediaman masing masing, boleh dikatakan penduduk di situ datang dari semua negeri. Corak penempatan rumah rumahnya adalah, jikalau ketuanya atau penduduk awal datang dari negeri sembilan, maka disekeliling rumah ketua tersebut dikelilingi oleh rumah rumah yang juga berasal dari negeri sembilan, kemungkinan dalam 10 - 20 rumah. Jadi terdapat pola penempatan yang sebegitu rupa didalam kampung Berembang tersebut. Jika kita berjalan disepanjang kampung tersebut, dikawasan tertentu, kita akan dengar loghat minangkabau, dikawasan hadapan sedikit, ada loghat kelantan dan dihujung kampung ada loghat kedah dan pulau pinang.

Dikampung Berembang, yang terletak dibatu 3 1/2 Jalan Ampang, Kuala Lumpur ini lah aku dibesarkan, berkawan, bermain, belajar mengenal huruf Al Quraan, belajar asas ugama, bersekolah rendah diJalan Gurney 2 dan bersekolah menengah Sekolah Menengah Sri Ampang (Sekolah gangster tuu..hehe..) sehinggalah tahun 1983, apabila orang tua aku dipindahkan ke negeri utara, bandar Alor Star, Kedah. Aku rasa, orang tua aku telah membuat keputusan yang betul dengan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1967, jika tidak mungkin peluang untuk meningkatkan taraf penghidupan juga turut tidak ada. Kemungkinan juga, jika orang tua aku tidak berhijrah, aku masih dikampung dan bekerja dikampung juga.

Okay...cukup cerita background aku, sekarang aku nak cerita pasal permainan permainan aku semasa kanak kanak di kampung Berembang. Al maklum ajalah zaman kanak kanak aku masa di Kampung Berembang, bukan ada tenaga elektrik dan paip air, nama aja duduk di Kuala Lumpur. Masih lagi guna pelita dan lampu gasolin (bab lampu gasolin aku memang pakar, sebab tiap malam kena pasang bergilir dengan abang aku) kadang kadang bangun pagi lubang hidung hitam sebab jelaga dari asap pelita...baca buku mengadap pelita daaa...hehehe! Video games, VCD ke, DVD ke, malahan TV pun kebanyakan rumah di kampung Berembang tak ada. kalau adapun, itu sudah dikira barangan eksklusif. Kalau nak nengok TV kena bayar 0.05 sen...hehehe....collection untuk beli diesel tuan rumah untuk hidupkan generator..! nama nama seperti Ijam, Acei, Zam, Din, Jenor, Salleh, Faiz dan lain lain lagi yang tak berapa aku ingat lagi adalah merupakan kawan kawan sepermainan aku, tah macamana muka muka mereka ini semuanya sekarang agaknya......hahaha...harus dah bermisai dan berjanggut, mungkin rambut pun ada yang dah putih atau botak ...hahaha..!

Permainan yang aku nak ceritakan ini adalah permaianan senapang "letap letop". Permainan ini aku mula main semasa umur aku 8 tahun. Kenapa nama nya "letap letop", entah laa...aku sendiri pun tak tahu, dah gang gang aku panggil macam itu, aku pun ikut ajalah...mungkin sebab punyi nya yang kuat, sampai meletop letop.


Senapang Letap Letop yang diperbuat dari buluh


Senapang letap letop ini adalah kategori tidak merbahaya, bunyi nya sahaja yang kuat...."POW" sana..."POW" sini...hehehe...hasil nya tak ada apa, kalau kena badan pun tak ada apa. Bahan bahan nak buat seperti berikut;
1. 1 batang buluh pagar yang berlubang, kalau boleh biar tebal sebab susah nak pecah kerana tekanan yang kuat. Panjang agak agaklah dalam 1 kaki.
2. 1 batang buluh lidi (juga buluh pagar)pajang untuk masuk dalam buluh besar dalam 11.5 inci. tambah lagi dalam 3 inci untuk disumbat dalam buluh untuk pemegang,seperti dalam gambar diatas. Biarkan dalam 1/2 inci dihujung buluh besar untuk peluru.
3. Peluru nya? alah ...kacang...! pakai kertas surat khabar lama aja yang direndam dalam air untuk memadatkanya
4. Cara gunanya...lagi kacang...,Disumbat kertas surat khabar yang telah direndam tadi (dalam bentuk gumpalan kecil) dalam buluh besar. Lepas itu ambil buluh batang lidi tolak kedepan. Lepas itu masuk lagi sekali pelurunya, baru ada tekanan didalam buluh besar tadi akibat terkumpulnya udara didalamnya. Apabila ditekan buluh lidi tadi maka terjadi lah tekanan dan menendang kertas surat khabar yang dihadapan buluh besar tadi keluar dengan bunyi letupan yang kuat..."POW".

Ini adalah senapang peperangan peringkat awal....peringkat yang keatas..nanti aku cerita lain kali. Jadi, aku dengan gang gang aku akan membuat pasukan perang masing masing, satu askar German...lagi satu askar amerika...hahaha...ini semua pengaruh cerita COMBAT la, masa itu cerita combat ini memang jadi bualan kami semasa kanak kanak dulu. Jadi berperang lah kami didalam semak ditepi kampung atau dibelakang belakang rumah orang. Oleh sebab senapang yang dibuat hanya 1 laras....dah ada pula gang yang dah modified senapang tu jadi 2 laras...atau sehingga 4 laras....haaa...amik ko! Ini semua sebab semasa berperang senapang 1 laras memang kalah sebab tak sempat nak isi peluru balik...dah kena serang dan serang. Peluru (kertas surat khabar basah) senapang diisi dalam kantung plastik dan disisip kan kepinggang. Kadang kadang pasukan aku kalah perang bukan sebab senapang 1 laras aja tetapi desebabkan oleh peluru dah kering...!! Hahahahaha....kelam kabut semasa berperang peluru surat khabar dah kering sebab lama sangat menyorok dalam semak dan akibat bermain dibawah panas. Jadi kena laaa kreatif...terpaksa gunakan air ludah...hahaha....ada yang terdesak terpaksa guna air longkang..!!

Okay itu aja cerita nya, lain kali sambung ...daaa!

Thursday, December 10, 2009

Hang Tuah @ Daeng Merupawah - Imbasan Kembali

Pada tahun 1613, setelah Aceh dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda memusnahkan Batu Sawar (Kerajaan Johor Lama - lokasi di Kota Tinggi, Johor) Ramai penduduknya termasuk Sultan Alauddin Riayat shah 3, Raja Abdullah (adik Sultan Alauddin), Raja Raden dan pembesar negeri Johor-Pahang seperti Raja Husein (Iskandar Thani), Putri Kamaliah, dan Bendaharanya Tun Muhammad @ Tun Sri Lanang telah ditawan dan dipindahkan ke Aceh. Pada tahun 1615, Tun Muhammad telah diangkat menjadi Raja Samalanga oleh Sultan Iskandar Muda dan beliau telah memerintah dari tahun 1615 hingga 1659.

Tun Muhammad @ Tun Sri Lanang telah mengarang Hikayat Sulatus al-Salatin pada tahun 1612 dan pada masa kini terdapat perbagai versi hikayat ini, ada versi Winstedt, ada versi Shellabear. Ini adalah disebabkan, versi asal Sulatus al-Salatin, Naskah Raffles Malay 18 masih tersimpan di Royal Asiatic Society, London atau Sulatus al-Salatin Cod. Or. 1704 yang tersimpan di Universiti Leiden, Belanda dan kita masih belum dapat mengambilnya kembali. Adakah Hikayat Sulatus al-Salatin ini adalah kisah dongeng atau khayalan penulis? Atau hikayat ini adalah kisah sejarah sebenar yang telah berlaku dan ditulis kembali oleh Tun Muhammad?

Baiklah, persoalan diatas boleh ditangguhkan dahulu sehingga akhir tulisan aku kali ini. Apa yang aku nak disampaikan dalam tulisan pada kali ini adalah berkaitan Laksamana Hang Tuah yang banyak dikesahkan didalam Hikayat atau buku tersebut. Terdapat juga kitab atau Hikayat Hang Tuah yang lebih menjurus kepada kesah beliau didalamnya, namun terdapat beberapa percanggahan yang ketara antara kedua dua hikayat ini. Walaubagaimanapun, tulisan ini adalah hanya berdasarkan kepada hikayat karangan Tun Muhammad sahaja.

Dari Hikayat Sulatus al -salatin, berikut adalah ringkasan berkaitan Hang Tuah;

1. Nama Sebenar Hang Tuah adalah Daeng Merupawah, anak kepada Raja Bajung (Bajong atau Bajo?). Hang Tuah berasal dari Bajung, sebuah daerah di Makassar.

2. Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, dari Melaka telah datang ke Makassar dan berjumpa dengan Raja Goa atau Gowa. Semasa di Gowa, Raja Gowa telah bertanya pada Seri Bija Pikrama, apakah kegemaran Sultan Mansur Syah. Seri Bija Pikrama menyatakan bahawa Sultan Mansur gemar mengumpul anak anak muda yang memenuhi syarat syarat tertentu untuk dijadikan pahlawan. Mendengarkan hal itu, Raja Gowa telah menyuruh orang suruhanya mencari anak muda seperti yang dikehendaki dan menepati syarat syarat yang telah ditetapkan untuk dibawa dan dijadikan pahlawan Melaka. Semasa Hang Tuah dijumpai oleh pesuruh Raja Goa, Hang Tuah baru berumur 12 tahun. Walaupun baru berumur 12 tahun, beliau telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk semasa di Bajung.

3. Sultan Mansur Syah, sebelum pemilihan Hang Tuah, telah ada 8 orang anak anak muda yang menepati dan memenuhi syarat syarat yang telah ditetapkan untuk dijadikan pahlawan pahlawan Melaka. Mereka adalah;
a. Hang Jebat
b. Hang Kasturi
c. Hang Lekir
d. Hang Lekiu
e. Hang Ali
f. Hang Iskandar
g. Hang Hassan
h. Hang Hussin

Ketua kepada mereka bersembilan ini adalah Tun Bija Sura (nama sebenar tidak disebut). Dicatatkan didalam Hikayat ini, Hang Tuah melebihi 8 orang yang lain didalam semua ilmu dan kepandaian. Hang Tuah telah diberikan oleh Sultan Melaka sebilah keris Terupa Melaka semasa sampai di Melaka dan semasa diMelaka beliau telah banyak berguru kepada hulubalang hulubalang Melaka.

5. Hang Tuah berkahwin dan mempunyai 2 orang isteri seperti berikut;

1. Isteri pertama (Nama tidak disebut) - saudara kepada Seri Bija Diraja Dato Bongkok.

Anak dari isteri pertama

1. Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Temenggung Khoja Hassan
Cucu dari isteri pertama
1. Tun Abdullah (Lelaki)
2. Tun Biajid (Lelaki)
3. Tun Daerah (Perempuan) - Berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah
Cicit dari isteri pertama
Raja Dewi Sultan Mahmud Syah


2. Isteri Kedua (Nama tidak disebut) - Dari keluarga Bendahara Paduka Raja

Anak anak dari isteri Kedua

1. Sang Guna (Lelaki)
2. Tun Emas Jiwa (Perempuan) - Berkahwin dengan Hang Nadim
Cucu dari isteri kedua
1. Tun Mat Ali Hang Nadim
Cicit dari isteri kedua
1. Tun Hamzah Tun Mat Ali
Piut dari isteri kedua
1. Tun Ali Tun Hamzah - Tun Ali bergelar Seri Petam

6. Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana Hang Tuah setelah pembunuhan Hang Jebat

7. Hang Tuah meninggal dunia setelah sekembalinya Hang Nadim dari perjalanan ke Benua Keling. Hang Tuah telah dimakamkan di Tanjung Keling, diMelaka. Pengganti jawatan Laksamana adalah menantunya sendiri, Temenggung Khoja Hassan.

Selain daripada perkara perkara diatas seperti hal meminang Puteri Gunung Ledang, pembunuhan Jebat dan sebagainya aku tidak tuliskan disini. Itu tuan dan puan boleh baca sendiri dalam buku dan internet. Apa yang nampak jelas adalah memang ada perbezaan yang nyata mengenai Hang Tuah didalam Hikayat Sulatus as-Salatin dan Hikayat Hang Tuah seperti asal usul Hang Tuah, kematiannya dan cerita cerita lain dan watak watak didalamnya.

Persoalanya adalah, adakah Hikayat Sulatus as-salatin yang dikarang oleh Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang ini mengenai Laksamana Hang Tuah adalah cerita dongeng dan khayalan? Didalam buku: "Amando cortesao - the suma oriental of Tome' Pires", Pires adalah seorang Portugis yang berada di Melaka semasa Portugal menyerang Melaka pada 1511, beliau menyatakan "Kalaulah Hang Tuah masih ada di Melaka, Portugis tidak akan berani menyerang". Manakala didalam buku "A. Kobata and M. Matsuda - Ryukyu relations with Korea and south sea countries" dimana A Kobata telah merujuk kepada kepada catatan bernama "Rekidai Hoan" yang telah ditulis dan disusun pada 1697 oleh Raja kepulauan Ryukyus yang mana didalam catatan tersebut ada menyebut mengenai keberanian HangTuah yang telah masuk kepelabuhan di Kemboja semasa perang saudara sedang berlangsung diketika itu untuk mengambil air minuman dengan menggunakan perahu layar kecilnya.

Aku rasa 2 catatan diatas oleh orang luar, dari negara yang berbeza sudah cukup untuk mengesahkan kewujudan Hang Tuah dan lagendanya itu. Ini juga secara tidak langsung mengesahkan juga bahawa Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang bukanlah seorang penulis cerita cerita dongeng atau khayalan.


Saturday, November 14, 2009

Padang Rengas & Pakcik Aku, Rashid Ali Bin Ngah Lamat

Padang Rengas adalah sebuah pekan kecil yang terletak ke utara bandar Kuala Kangsar, kira kira 7 Km melalui jalan lama ke Taiping. Pekan ini terletak didalam Mukim Kampung Buaia, dearah Kuala Kangsar. Tidak diketahui bilakah pekan ini dan mukim ini mula dibuka, tetapi kalau mengikut kisahnya, pekan ini telah lama dibuka kemungkinan sebelum tahun 1800 lagi. Didalam Pekan padang Rengas ini, terdapat banyak kampung kampung dan salah sebuahnya adalah Kampung Repoh, iaitu kampung Ayah dan Opah aku. Dikampung ini lah abang aku yang sulung dilahir dan dibesarkan. Opah aku berasal dari Sayong, Kuala Kangsar dan setelah berkahwin dengan datok aku yang berasal dari Sungkai, mereka telah membeli tanah dan membuat rumah dikampung Repoh tersebut. Opah aku mempunyai 5 orang anak, 2 lelaki dan 3 perempuan. Ayah aku, Shaharuddin Bin Ngah Lamat adalah yang bongsu.

Walaupun Padang Rengas adalah sebuah pekan yang kecil, kalau dok pusing kat pekan ini, 15 minit pun dah habis agaknya, tetapi disinilah kebanyakan aktiviti aktiviti kebangkitan menuntut kemerdekaan oleh orang orang Melayu yang berpendirian radikal dan berpegang kepada agama. Dengan adanya lebihkurang 7 - 8 sekolah sekolah sistem pondok dari Padang Rengas hingga ke Pekan Lubuk Merbau, kebangkitan dan kesedaran orang orang Melayu telah dibangkitkan, khususnya selepas perang dunia kedua. Kebangkitan orang orang Melayu selepas perang dunia kedua juga adalah disebabkan kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan semangat kebangkitan orang orang Indonesia menuntut kemerdekaan dari Belanda melalui senjata beserta kemerdekaan bersama negara Indonesia. Pekan Padang Rengas telah menyediakan tempat dan landasan untuk parti parti politik dan gerakan ini bergerak. Tuan Mokhtar Petah didalam blognya telah menulis berkaitan hal tersebut seperti dibawah:

Sama ada dari cerita-cerita lisan mahu pun catatan-catan sejarah; Padang Rengas adalah menjadi tempat awal berkembang perjuangan orang-orang Melayu atau umat Islam menuntut kemerdekaan tanahair. Perkembangan itu telah bermula dari tahun 1800 lagi kerana kawasan itu mempunyai kawasan sawah padi yang luas dan terkenal sebagai ’jelapang padi’, di samping itu dusun buah-buahan juga luas. Gua di Gunung Pondok telah menjadi tempat ahli-ahli suluk atau tarikat mengerjakan amal ibadat mereka. Orang-orang yang bertapa kerana menuntut ilmu kesaktian yang datang dari Tanah Jawa dan Sumatera telah mengunakan gua-gua dalam gunung itu sebagai tempat mereka bertapa. Selain dari orang-orang dari Sumatera dan Pulau Jawa telah datang bertapa di Padang Rengas, maka ramai pula orang-orang alim dan politikus-politikus di Tanah Melayu dan dari Sumatera dan Pulau Jawa yang telah datang ke sana untuk mengembangkan ilmu pengetahuan Islam dan menyebarkan semangat perjuangan untuk menuntut kemerdekaan tanahair.

Pejuang-penjuang kemerdekaan Tanah Melayu, di antaranya Dr Burhanuddin Helmi, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh sering datang ke sana untuk menggerakkan perjuangan mereka. Seorang tokoh diplomatik dan pakar membuat senjata lepasan Universiti Istanbul, Turki, Yusuf Helmi Alfian bersama beberapa orangnya telah datang ke Padang Rengas untuk mengajar membuat senjata dan taktik perang gerila kepada sebilangan ahli-ahli Angkatan Pemuda Insaf (Api).

Aku tidak hendak menceritakan lebih lanjut dan secara terperinci berkenaan kebangkitan tersebut, saudara dan saudari boleh membacanya sendiri dari buku buku dan halaman web. Apa yang aku hendak sampaikan disini adalah berkaitan dengan Allahyarham Pakcik aku, beliau adalah abang kepada arwah ayah aku dan namanya adalah Rashid Ali Bin Ngah Lamat. Banyak cerita mengenai beliau semasa muda yang aku tidak tahu dan arwah ayah aku dan makcik makcik aku juga tidak banyak bercerita mengenai kisah kisah lama beliau.

Semasa aku membaca blog Tuan Mokhtar Petah dalam link berikut : http://mokhtarpetah.blogspot.com/2009/09/mengenang-masa-silam_23.html
aku terjumpa nama pakcik aku, Rashid Ali disebut seperti sedutan dibawah;

Pada masa itu jalan dari pekan Padang Rengas ke Kampung Lalang dan Kampung Laneh masih tanah merah dan pasir. Di kawasan bawah Gunung Pondok dan dekat stesen keretapi terdapat lebih lima belas rumah kedai setingkat. Kira-kira dua bulan aku belajar di Madrasah al Yahyawiyah, aku telah bergaul dengan beberapa orang pemuda Melayu ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) di Padang Rengas. Mereka itu terdiri dari orang-orang yang belum ditangkap oleh pihak Kerajaan Inggeris. Di antara mereka itu, ialah Rashid Karim, Rashid Ali, Ismail Punjab dan Zainuddin Andika (seorang tukang kayu yang pandai membuat senjata api).

Rasa ingin tahu telah menyebabkan aku mencari lebih lanjut lagi, namun tidak berjumpa data bertulis mengenai beliau hinggalah 2 minggu lepas aku terjumpa lagi nama beliau didalam didalam satu analisis yang telah dibuat oleh Tuan M.A. Fawzi Basri berjudul Perak sebelum dan selepas perang dunia kedua : Satu analisis tentang nasionalisme orang melayu. Beliau menulis dari Sekolah Pengajian Asasi, UUM. sedutan dari penulisan beliau tersebut telah menyebut nama Rashid Ali sebagai Ketua I, API Padang Rengas.

Analisis oleh Tuan Fawzi boleh didownload dari link berikut : http://eprints.uum.edu.my/610/1/Perak_Sblm_dan_Slps.pdf

Cerita lanjut mengenai Angkatan Pemuda Insaf (API), boleh dibaca disini http://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Pemuda_Insaf

Setelah pengharaman API, ramai pejuang pejuang yang bukan sahaja dari API malahan dari AWAS, PKMM dan lain lain gerakan telah ditangkap dan dipenjarakan tanpa bicara dibawah undang undang dharurat 1948. Pakcik aku telah ditangkap tanpa bicara selama 8 tahun dan sepanjang 8 tahun tersebut beliau telah dipenjarakan dibeberapa tempat seperti di Ipoh, Tanjung Beruas, Melaka, Pulau Jerejak dan Taiping. Selama 8 tahun juga lah isteri beliau dan seorang anak kecilnya dan Opah aku menanggung derita.

Pihak pentadbiran British begitu takut akan pengaruh parti parti politik yang berhaluan kiri ini dan juga kebangkitan orang orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan melalui senjata dan kekerasan. Didalam perancangan British, Tanah Melayu boleh dimerdekakan tetapi mestilah parti politik yang menang dan pemerintahnya mendengar kata dan arahan British, walaupun setelah negara kita merdeka. Dan bagi orang orang Melayu yang radikal dan berhaluan kiri, ini adalah tidak selaras dengan dasar dan kehemdak perjuangan mereka.

Setelah habis menjalani tahanan selama 8 tahun, pakcik aku telah tidak melibatkan diri secara aktif didalam mana mana parti politi, mungkin kerana syarat perjanjian pembebasan beliau yang mengkehendakinya begitu. Tetapi sewaktu aku kecil dahulu, dalam tahun 70an, aku masih ingat lagi apabila arwah pakcik aku datang ke rumah ayah aku diKuala Lumpur, dia akan bermalam di rumah Allahyarham Dato Asri pada malam berikutnya di Stapak.

Itulah dia Allahyarham Rashid Ali Bin Ngah Lamat, pakcik aku, yang ingatan aku mengenai nya tidak berapa jelas disebabkan beliau telah meninggal dunia semasa aku masih kanak kanak lagi. Arwah adalah seorang yang penyayang dan peramah. Yang aku pasti semangat pahlawannya cukup kuat sekali.

Tuesday, October 20, 2009

Bungalow bungalow Peninggalan kolonial British Di Pulau Carey

Pada Hari Raya ke 4 tempohari, aku dengan anak dan isteri serta keluarga adik ipar telah ke berhariraya ke rumah abang ipar aku, Syed Akhmal, di Pulau Carey, Selangor. Beliau berkecimpung didalam bidang perladangan dengan Sime Darby Plantation. Telah banyak ladang yang dijaganya sebelum ini semasa dibawah Guthrie, di Johor, Perak, Pahang, Negeri dan Sembilan. Kiranya Ladang di Pulau Carey ini tidaklah terlalu jauh kedalam, kalau sebelum ini, ada ladang yang dijaganya jauh kedalam ladang dan jalanya pula kebiasaanya adalah tidak bertar.

Pulau Carey mendapat namanya daripada nama pegawai tadbir kanan British, Edward Valentine Carey. Beliau adalah merupakan seorang peneroka perladangan zaman kolonial pada akhir abad ke 19. Pulau Carey adalah salah sebuah ladang yang tertua di Malaysia. Menurut abang ipar aku, ladang ini mula diterokai oleh syarikat Teh dan Kopi dari England, Harrison & Crossfield pada 1905 dan setelah itu ladang ini telah dinamakan sebagai syarikat perladangan Golden Hope. Pulau Carey adalah sebuah pulau yang terletak dibawah paras air, ada kira kira 130 Km ban yang dibina sekeliling pulau bagi menahan air laut daripada memasuki kawasan ladang. Pada masa dahulu kawasan ladang ini terbahagi kepada 4 bahagian, iaitu North, South, East dan West Estate. Setiap satu dengan pengurus nya sendiri. Tetapi sekarang telah disatukan hanya kepada East dan West Estate sahaja.

Apa yang nak aku ceritakan pada kali ini adalah mengenai rumah rumah atau bungalow peninggalan pengurus pengurus berbangsa British yang terdapat dipulau Carey ini. Aku telah berpeluang untuk melawat ke rumah rumah tetamu dan VIP tersebut bersama sama dengan abang dan adik ipar serta isteri aku. Memang cantik dan terjaga dengan baiknya oleh pengurusan ladang ini. Kesemua bungalow yang ada mempunyai corak pembinaan kolonial. Nak cerita banyak nanti aku takut salah pulak, oleh itu nikmatilah keindahan senibina dari gambar gambar yang aku ambil ini.

Pemandangan pulau Carey semasa pembukaan nya pada tahun 1900, mungkin lebih awal lagi. Sumber gambar : The Malay Peninsular - A record of British progress in the middle east. Written by Arnold Wright and Thomas H. Reid


Tanaman asal dipulau Carey adalah tanaman pokok getah dan bukan kelapa sawit, seperti sekarang. Kelihatan anak anak pokok getah baru ditanam.

Buruh buruhnya orang orang berketurunan tamil dibawa dari India selatan atau dari negeri Tamil.


Pintu masuk ke Ladang Sime Darby Plantation.



Bergambar dihadapan rumah tetamu (guest house), ditengah tengah abang ipar aku, Syed Akhmal, Penolong Pengurus Kanan, Ladang West Estate, disebelahnya, adik ipar aku, Latifi.




Dining hall

Tangga ketingkat atas

Reading room





Kamar tidur

Meja bersolek
Meja menulis

Bilik air yang sudah dimodenkan??

Tirai antik

Rumah Tetamu

Pemandangan menghadap ke sungai yang memisahkan Pulau Carey dengan Telok Panglima Garang.




Kelab Golf Pulau Carey, samada 9 atau 18 lupa, aisyaman...lupa plak.





Kolam renang di sebelah Club House.

Memang cantik dan penuh dengan corak pembinaan kolonial. Tapi rasanya dan sebaik baiknya pihak pengurusan Ladang Sime Darby mengekalkan senibina yang asal tanpa mengubah rekabentuknya mengikut ciri ciri moden. Kalau sudah bercampur, sudah hilang lah keistimewaanya. Walaubagaimanapun tahniah kepada pengurusan Sime Darby kerana berjaya mengekalkan senibina ini. Terima kasih kepada abang ipar aku kerana membawa melawat kerumah rumah tersebut.

Monday, September 28, 2009

Balik Berhari Raya - Laluan Gelap

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf, Zahir dan Batin kepada semua pembaca. Dalam menyambut hari lebaran, rasanya semua penganut Agama Islam di Malaysia khasnya dan di sebelah asia ini amnya akan cuba sedaya upaya untuk menyambutnya bersama sama keluarga dan orang tua masing masing. Ini termasuk lah juga pekerja pekerja Indonesia yang masuk ke Malaysia secara sah untuk mencari rezeki dengan menggunakan pas kemasukan lawatan sosial untuk duduk selama 30 hari. Setelah bekerja diladang ladang, pembantu kedai dan lain lain sektor, mereka ini telah duduk melebehi 30 hari dan diangap sebagai pendatang haram. Untuk kembali ke Indonesia, mungkin setelah duduk selama 2 - 3 tahun, mereka ini tidak boleh keluar secara sah. Pada kebiasaanya, jika ditangkap mereka akan dihantar kepusat tahanan pendatang haram dan akan dibicarakan dan setelah menjalani hukuman, mereka akan dihantar pulang kenegara masing masing oleh kerajaan Malaysia.

Pantai Desaru, salah satu tempat panas kenaikan dan pendaratan pendatang haram


Salah satu cara yang paling senang dan popular adalah dengan menggunakan jalan laut dari Johor samada dari pantai barat atau timur menghala ke Pulau Batam atau Pulan Bintan dengan menggunakan bot pancung laju atau "speed boat" dengan menggunakan 2 enjin, setiap satu 100 kuasa kuda. Perjalanan akan mengambil masa antara 1.5 - 2.0 jam. Dari pantai timur Johor, banyak terdapat tempat tempat kenaikan atau jeti pantai panas.

Pada 18hb September 2009, hari Jumaat, kira kira 2 hari sebelum hari raya yang lalu, kira kira jam 8.30 pagi aku dikejutkan oleh kakitangan aku yang terdapat kira kira 25 orang pendatang haram sedang berlari dan menyorokan diri didalam semak menghadap pantai, sebelah tempat kerja aku. Aku pun apa lagi, bersama sama kakitangan keselamatan dan kakitangan lain pun berkejarlah ke kawasan pantai. Kelihatan polis Marin sedang mengawal 5 orang pendatang haram yang telah ditangkap dan sedang duduk diatas pantai (4 lelaki dan 1 perempuan)


5 orang pendatang yang telah ditangkap oleh Polis Marin. Kelihatan dibelakang sana, bot pancung yang tersadai dipantai kerana kerosakan enjin. Bot getah diatas adalah bot polis marin. Manakala kapal peronda Polis Marin berlabuh ditengah laut.


Selebihnya lagi seramai 20 orang, tidak dapat ditangkap kerana telah melarikan diri kedalam hutan berhampiran. Mengikut cerita pendatang yang telah ditahan, mereka menaiki bot dari Kuala Sedili dengan 2 buah bot pancung, setiap bot boleh dinaiki antara 25 - 30 orang. Upah yang dikenakan antara RM 500 - RM 1000 seorang. Satu perniagaan yang lumayan..!! Walaubagaimanapun, pada hari tersebut, salah sebuah bot tersebut telah mengalami kerosakan enjin. Ketika mereka sedang mengalihkan penumpang kedalam bot yang sebuah lagi, mereka terserempak dengan Kapal Polis Marin. Kesemua 25 orang tersebut telah terjun dan berenang kepantai, manakala sebuah bot lagi memecut ke Pulau Batam, melalui perairan antarabangsa.

Marah pun ada pada tekong darat dan laut yang menjalankan kerja sebegini, kesian pun ada apabila melihat pendatang pendatang tersebut berbasah dan menyorok kan diri didalam hutan yang berhampiran, sedangkan Hari Raya hanya menjelang lagi 2 hari. Pendatang tersebut telah ditahan dan akan merayakan Aidil Fitri didalam pusat tahanan pendatang haram Pekan Nenas...!! Apa nak dikata...!!

Thursday, September 3, 2009

NASIHAT KEHIDUPAN

Pagi tadi aku terima email dari budak opis aku. Dipanjangkanya email dibawah yang diterima dari seorang hamba Allah yang bekerja di Kuala Lumpur. Jadi, aku pun panjangkan di blog ini supaya semua pembaca boleh berkongsinya. Bacalah...!


1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK.
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK.
Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda, tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita

12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

14.KETIKA MENDIDIK ANAK
Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....

15.KETIKA ANAK BERMASALAH
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.

16.KETIKA ADA PIL.
Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.

17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS

Gunakanlah formula 7 K
1 Ketaqwaan
2 Kasih sayang
3 Kesetiaan
4 Komunikasi dialogis
5 Keterbukaan
6 Kejujuran
7 Kesabaran