Thursday, December 10, 2009

Hang Tuah @ Daeng Merupawah - Imbasan Kembali

Pada tahun 1613, setelah Aceh dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda memusnahkan Batu Sawar (Kerajaan Johor Lama - lokasi di Kota Tinggi, Johor) Ramai penduduknya termasuk Sultan Alauddin Riayat shah 3, Raja Abdullah (adik Sultan Alauddin), Raja Raden dan pembesar negeri Johor-Pahang seperti Raja Husein (Iskandar Thani), Putri Kamaliah, dan Bendaharanya Tun Muhammad @ Tun Sri Lanang telah ditawan dan dipindahkan ke Aceh. Pada tahun 1615, Tun Muhammad telah diangkat menjadi Raja Samalanga oleh Sultan Iskandar Muda dan beliau telah memerintah dari tahun 1615 hingga 1659.

Tun Muhammad @ Tun Sri Lanang telah mengarang Hikayat Sulatus al-Salatin pada tahun 1612 dan pada masa kini terdapat perbagai versi hikayat ini, ada versi Winstedt, ada versi Shellabear. Ini adalah disebabkan, versi asal Sulatus al-Salatin, Naskah Raffles Malay 18 masih tersimpan di Royal Asiatic Society, London atau Sulatus al-Salatin Cod. Or. 1704 yang tersimpan di Universiti Leiden, Belanda dan kita masih belum dapat mengambilnya kembali. Adakah Hikayat Sulatus al-Salatin ini adalah kisah dongeng atau khayalan penulis? Atau hikayat ini adalah kisah sejarah sebenar yang telah berlaku dan ditulis kembali oleh Tun Muhammad?

Baiklah, persoalan diatas boleh ditangguhkan dahulu sehingga akhir tulisan aku kali ini. Apa yang aku nak disampaikan dalam tulisan pada kali ini adalah berkaitan Laksamana Hang Tuah yang banyak dikesahkan didalam Hikayat atau buku tersebut. Terdapat juga kitab atau Hikayat Hang Tuah yang lebih menjurus kepada kesah beliau didalamnya, namun terdapat beberapa percanggahan yang ketara antara kedua dua hikayat ini. Walaubagaimanapun, tulisan ini adalah hanya berdasarkan kepada hikayat karangan Tun Muhammad sahaja.

Dari Hikayat Sulatus al -salatin, berikut adalah ringkasan berkaitan Hang Tuah;

1. Nama Sebenar Hang Tuah adalah Daeng Merupawah, anak kepada Raja Bajung (Bajong atau Bajo?). Hang Tuah berasal dari Bajung, sebuah daerah di Makassar.

2. Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, dari Melaka telah datang ke Makassar dan berjumpa dengan Raja Goa atau Gowa. Semasa di Gowa, Raja Gowa telah bertanya pada Seri Bija Pikrama, apakah kegemaran Sultan Mansur Syah. Seri Bija Pikrama menyatakan bahawa Sultan Mansur gemar mengumpul anak anak muda yang memenuhi syarat syarat tertentu untuk dijadikan pahlawan. Mendengarkan hal itu, Raja Gowa telah menyuruh orang suruhanya mencari anak muda seperti yang dikehendaki dan menepati syarat syarat yang telah ditetapkan untuk dibawa dan dijadikan pahlawan Melaka. Semasa Hang Tuah dijumpai oleh pesuruh Raja Goa, Hang Tuah baru berumur 12 tahun. Walaupun baru berumur 12 tahun, beliau telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk semasa di Bajung.

3. Sultan Mansur Syah, sebelum pemilihan Hang Tuah, telah ada 8 orang anak anak muda yang menepati dan memenuhi syarat syarat yang telah ditetapkan untuk dijadikan pahlawan pahlawan Melaka. Mereka adalah;
a. Hang Jebat
b. Hang Kasturi
c. Hang Lekir
d. Hang Lekiu
e. Hang Ali
f. Hang Iskandar
g. Hang Hassan
h. Hang Hussin

Ketua kepada mereka bersembilan ini adalah Tun Bija Sura (nama sebenar tidak disebut). Dicatatkan didalam Hikayat ini, Hang Tuah melebihi 8 orang yang lain didalam semua ilmu dan kepandaian. Hang Tuah telah diberikan oleh Sultan Melaka sebilah keris Terupa Melaka semasa sampai di Melaka dan semasa diMelaka beliau telah banyak berguru kepada hulubalang hulubalang Melaka.

5. Hang Tuah berkahwin dan mempunyai 2 orang isteri seperti berikut;

1. Isteri pertama (Nama tidak disebut) - saudara kepada Seri Bija Diraja Dato Bongkok.

Anak dari isteri pertama

1. Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Temenggung Khoja Hassan
Cucu dari isteri pertama
1. Tun Abdullah (Lelaki)
2. Tun Biajid (Lelaki)
3. Tun Daerah (Perempuan) - Berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah
Cicit dari isteri pertama
Raja Dewi Sultan Mahmud Syah


2. Isteri Kedua (Nama tidak disebut) - Dari keluarga Bendahara Paduka Raja

Anak anak dari isteri Kedua

1. Sang Guna (Lelaki)
2. Tun Emas Jiwa (Perempuan) - Berkahwin dengan Hang Nadim
Cucu dari isteri kedua
1. Tun Mat Ali Hang Nadim
Cicit dari isteri kedua
1. Tun Hamzah Tun Mat Ali
Piut dari isteri kedua
1. Tun Ali Tun Hamzah - Tun Ali bergelar Seri Petam

6. Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana Hang Tuah setelah pembunuhan Hang Jebat

7. Hang Tuah meninggal dunia setelah sekembalinya Hang Nadim dari perjalanan ke Benua Keling. Hang Tuah telah dimakamkan di Tanjung Keling, diMelaka. Pengganti jawatan Laksamana adalah menantunya sendiri, Temenggung Khoja Hassan.

Selain daripada perkara perkara diatas seperti hal meminang Puteri Gunung Ledang, pembunuhan Jebat dan sebagainya aku tidak tuliskan disini. Itu tuan dan puan boleh baca sendiri dalam buku dan internet. Apa yang nampak jelas adalah memang ada perbezaan yang nyata mengenai Hang Tuah didalam Hikayat Sulatus as-Salatin dan Hikayat Hang Tuah seperti asal usul Hang Tuah, kematiannya dan cerita cerita lain dan watak watak didalamnya.

Persoalanya adalah, adakah Hikayat Sulatus as-salatin yang dikarang oleh Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang ini mengenai Laksamana Hang Tuah adalah cerita dongeng dan khayalan? Didalam buku: "Amando cortesao - the suma oriental of Tome' Pires", Pires adalah seorang Portugis yang berada di Melaka semasa Portugal menyerang Melaka pada 1511, beliau menyatakan "Kalaulah Hang Tuah masih ada di Melaka, Portugis tidak akan berani menyerang". Manakala didalam buku "A. Kobata and M. Matsuda - Ryukyu relations with Korea and south sea countries" dimana A Kobata telah merujuk kepada kepada catatan bernama "Rekidai Hoan" yang telah ditulis dan disusun pada 1697 oleh Raja kepulauan Ryukyus yang mana didalam catatan tersebut ada menyebut mengenai keberanian HangTuah yang telah masuk kepelabuhan di Kemboja semasa perang saudara sedang berlangsung diketika itu untuk mengambil air minuman dengan menggunakan perahu layar kecilnya.

Aku rasa 2 catatan diatas oleh orang luar, dari negara yang berbeza sudah cukup untuk mengesahkan kewujudan Hang Tuah dan lagendanya itu. Ini juga secara tidak langsung mengesahkan juga bahawa Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang bukanlah seorang penulis cerita cerita dongeng atau khayalan.