Tuesday, July 28, 2009

Mencari Makam Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah (Marhum Mangkat Di Sekudai) Sultan Perak Ke 25

Salam sejahtera..!! 2 Hari lepas, sepupu aku dari Kuala Lumpur telah menelefon dan setelah sekian lama tidak berbual, percakapan telah menjadi panjang dan melibatkan banyak topik. Salah satu daripada topik yang dibualkan adalah mengenai kisah kisah lama keluarga kami berdua. Sepupu aku memberitahu, beliau pernah dikhabarkan oleh opah kami bahawa bonda beliau atau moyang kami pernah melarikan diri sehingga ke Hulu Perak atau kedaerah Grik dan pernah menukar nama bersama sama pengikut pengikut setia seorang sultan. Kejadian ini berlaku selepas kejadian Residen Inggeris, James Birch mati dibunuh di Pasir Salak. Mengikut ceritanya banyak lah juga barang barang moyang kami dan pengikut pengikut serta Sultan tersebut dirampas oleh Inggeris.

Cerita ini menarik minat aku kerana aku sendiri tidak pernah mendengarnya. Oleh sebab perasaan ingin tahu lebih lanjut cerita yang sebenarnya, aku pun bukalah internet dan mencari cerita atau kejadian berlaku lebihkurang 140 yang lalu. Berikut adalah catatan kejadian dan sejarah yang didapati;


********************************************************************************

Raja Bendahara Raja Ismail dilantik menjadi pengganti Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah yang telah mangkat lebih daripada sebulan belum disemadikan. Raja Ismail telah dilantik oleh orang besar-besar Perak memandangkan Raja Muda Raja Abdullah tidak berani berangkat menghadiri serta mengetuai istiadat permakaman Almarhum. Raja Ismail adalah putera Raja Nandak binti Almarhum Sultan Ahmaddin Shah dengan suaminya Saiyid Shaikh Al-Khairat, Raja dari Siak, dan telah diambil menjadi Raja Bendahara dalam pemerintahan Almarhum Sultan Jaafar Mua'azzam Shah (Sultan yang ke-23).

Setelah menjadi Sultan yang ke-25, Raja Ismail bergelar Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah, dan bersemayam di Belanja. Dari masa itu hingga beberapa tahun kemudian, kerabat-kerabat diraja sentiasa berseliseh antara sama sendiri, terutama di antara baginda dengan Raja Muda Raja Abdullah, Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Adalah dipercayai baginda juga telah mengambil Raja Tepus dijadikan pemangku Raja Mudanya kerana baginda tidak dapat kerjasama daripada Raja Muda Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar Mua'azzam Shah bersemayam di Batak Rabit.

Disebabkan perselisehan sesama sendiri antara kerbat-kerabat diraja Perak itu, maka pemerintahan di Negeri Perak telah menjadi semakin kucar-kacir lagi. Tambahan pula, huru-hara yang dibangkitkan oleh kaum Cina di Larut sejak tahun 1872, yang disebutkan Perang Larut, tidak dapat diselesaikan oleh raja-raja dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim itu. Dalam keadaan kekacauan itu, Raja MUda Raja Abdullah, Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah, Raja Idris ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar (ibni Raja Kecil Tengah Raja Ahmad) dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim masing-masing telah meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Hary Ord, di Singapura untuk menegakkan kedudukan mereka masing-masing.

Pada bulan April 1872, Raja Muda Abdullah dengan sendirinya telah menyatakan bahawa beliau merupakan Sultan Perak yang sah serta mengambilnya Raja Yusuf sebagai Raja Mudanya. Pada bulan yang sama, Gabenor Ord telah menghantar wakilnya, C.J. Irving, yang sedang berkhidmat sebagai Juruodit Agung Negeri-Negeri Selat, datang ke Perak menyelidikkan keadaan kesultanan itu. Irving telah berjumpa dan bertemu-ramah dengan Raja Muda Raja Abdullah, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan lain-lain orang besar-besar di atas kapalnya bernama Pluto di Sungai Larut. Maka pada 25 April 1872, Raja Muda Raja Abdullah telah mengemukakan tuntutannya kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat bahwa beliau adalah waris yang lebih berhak dilantik menjadi pengganti Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah. Selepas sebulan daripada pertemuan dengan Irving, Gabenor Negeri-Negeri Selat telah memanggil semua orang besar-besar Perak datang berkumpul di Pulau Pinang menghadiri suatu persidangan mengenai siapa yang lebih layak menjadi Sultan Perak itu dengan Gabenor Ord. Tetapi orang besar-besar memaklumkan bahawa perkara berkenaan Sultan Perak telah pun diselesaikan dan mereka tidak hadir untuk bersidang dengan Gabenor.

Pada tahun 1872, berbangkit pula pergaduhan orang-orang Cina di Larut antara pihak Hai San dengan pihak Ghi Hin, yang dirujuk sebagai Perang Larut yang ketiga). Pergaruhan tersebut berlarutan dan pada awal tahun 1874 barulah orang Inggeris menggunakan pengaruhnya untuk memberhentikan pengaduhan orang-orang Cina di Larut dan di Pulau Pinang. Dalam pergaduhan tersebut, Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan beberapa orang Raja pula menyertai bahagian dan memberi sokongan kepada kongsi-kongsi Cina yang mereka sukai.

Pada bulan Ogos 1873, Gabenor Ord telah datang ke Pulau Pinang dan berjumpa dengan Raja Muda Raja Abdullah. Pada 3 September 1873, setelah mendengar penerangan daripada Leftenan Gabenor A.E.H. Anson, Gabenor Ord telah mengiktirafkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut yang sah.

Susulan daripada itu, Raja Muda Raja Abdullah pula berangkat ke Singapura berjumpa dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat yang baru untuk berunding tentang tuntutannya menjadi Sultan Perak. Gabenor baru ialah Sir Andrew Clarke. Maka pada 30 Disember 1873, atas pujukan daripada sahabatnya bernama W.H. Read di Singapura, Raja Muda Raja Abdullah telah mengutus surat kepada Sir Clarke meminta Gabenor itu mencampur-tangan menyelesaikan huru-hara di Negeri Perak dan menerimanya sebagai Sulta Perak yang sah. Tidak beberapa lamanya, Sir Clarke pun datang ke Pulau Pangkor berjumpa dengan orang besar-besar Perak serta ketua-ketua Cina yang bergaduh di Larut. Akhirnya, pada 20 Januari 1874, suatu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Pangkor telah pun dimeteraikan oleh kerabat-kerabat diraja dan orang besar-besar Perak dengan pihak Gabenor Negeri-Negeri Selat. Antara syarat-syarat perjanjian tersebut ialah Raja Muda Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan Perak, pewujudan jawatan Residen British di Perak untuk menasihatkan Sultan dalam segala perkara selain daripada yang tersentuh dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dengan wujudnya perjanjian itu, Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah, yang tidak hadir dalam perjumpaan dengan Sir Clarke di Pulau Pangkor, telah diturunkan daripada takhta kerajaan Negeri Perak serta dibenarkan memakai gelaran 'Sultan Muda' dan diberikan gaji oleh Kerajaan Negeri Perak. Kuasa dan kedudukan Tengku Menteri sebagai pemerintah Larut juga disingkirkan, dan diserah-balik kepada Sultan Perak yang baru diiktirafkan.

Mengikutan daripada pewujudan Perjanjian Pangkor, pegawai Inggeris J.W.W. Birch telah dilantik menjadi Residen British yang pertama. Maka pula timbullah perselisehan antara Sultan baru dan Residen British yang kemudiannya menyebabkan pembunuhan Birch di Pasir Salak. Peristiwa gelap ini menyebabkan terbitnya Perang Perak. Pemerintahan British telah menangkap orang-orang yang terlibat dengan pembunuhan Birch, dan mereka dijatuhkan hukuman. Kepada bekas Sultan, Sultan Muda Ismail, baginda telah dibuang negeri ke Johor pada tahun 1877. Sultan Muda Ismail berhinggap di Sekudai sehingga baginda mangkat pada 4 September 1889 dengan bergelar 'Marhum mangkat di Sekudai'. Almarhum dipermakamkan di Bukit Mahmudiah di Johor Bahru.

Sumber : Portal Raja Kita (http://rajakita.perak.gov.my)

Perang Perak 1875-1876

Pembunuhan Birch telah mengemparkan pihak British.

15 November 1875, tentera British dari Pulau Pinang menyerang Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela mengundurkan diri ke Blanja. Kemudian, tentera tambahan British dari Hong Kong di bawah perintah Major Jeneral Calalborne menawan Pasir Salak. Dari India, tentera di bawah Brig. Jeneral J. Rose menawan Kuala Kangsar.

Sebelum tentera British menawan Blanja, Dato’ Maharaja Lela dan Raja Ismail berundur ke Kinta. Dari Kinta mereka bergerak menuju Kota Lama. British menawarkan hadiah kepada sesiapa yang menangkap orang yang dikehendaki iaitu $6 ribu untuk Maharaja Lela dan $3 ribu untuk Dato’ Sagor dan Pandak Induk.

Pada pertengahan Januari 1876, Raja Ismail meminta bantuan dari Kedah. Pada akhir bulan Mac, baginda menyerah diri dan dihantar ke Singapura kemudian Johor. Dalam bulan yang sama, Dato’ Sagor ditawan di Bandar Bahru sementara pada Julai 1876, Dato’ Maharaja Lela menyerah diri. Dengan ini semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap.

Dengan itu, suatu perbicaraan diadakan dan keputusannya ialah:

a. Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Pandak Induk dan Seputum dihukum gantung sampai mati di Matang pada 20 Januari 1877.

b. Cik Gondoh, Ngah Ahmad Ngah Jabbar, Panjang Nur dan Cik Ali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

c. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Dato’ Laksamana dan Dato’ Syahbandar dibuang ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi.

d. Raja Ismail dipindah ke Johor.

e. Raja Yusof dilantik sebagai Sultan.

Perang Perak ini akhirnya berkesudahan dengan kemenangan British. Kemenangan ini membolehkan British meneruskan sistem Residen dan memajukan ekonomi Perak tanpa halangan.
Sumber : (http://www.geocities.com)

*********************************************************************************

Setelah mendapat cerita diatas, aku tertanya tanya bebarapa persoalan, apakah yang terjadi sebelum permusuhan diantara Sultan Abdullah dan Sultan Ismail berlaku? Apakah sebab sebenar yang menghalang Sultan Abdulah dari menghadiri pengkebumian Sultan Ali dan perlantikan beliau sebagai Sultan yang ke 25 sehingga jenazah Almarhum tertunda untuk dikebumikan selam 30 hari. Bagaimana pula Sultan Ismail boleh berbaik semula dan bersepakat untuk terlibat didalam pembunuhan JWW Birch? Apakah peranan yang dimainkan beliau? Kenapa Dato Maharajalela melarikan diri bersama Sultan Ismail dan tidak dengan Sultan Abdullah? Dan berbagai bagai lagi....!

Bangun pagi tadi, aku terus ke restoren mamak Kassim, makan roti prata (orang KL panggil roti canai...hehe) dan teh tarik segelas, lepas makan, terus aku memandu kereta ke kawasan perkuburan Mahmoodiah dibandaraya Johor Bahru. Sampai sahaja aku ke kawasan perkuburan tersebut, terus tidak bertangguh, aku letak kereta ditepi jalan. Keluar aja kereta, Mak aiiii....!! luasnya, aku terfikir,..... macamana aku nak cari Makam Sultan Ismail ni? Bukanya ada panduan dan lokasi makamnya. Aku dah buat "search" dalam internet untuk cari keterangan atau gambar makam tersebut...hampa! Memang tak ada langsung. Yang aku tahu hanyalah Almarhum mangkat di Sekudai dan dikebumikan di Perkuburan Mahmoodiah. Setelah puas merayau rayau dikawasan perkuburan, aku hampir putus asa dan kecewa sebab kawasan terlalu luas dan kebanyakan makam makam lama tidak ada nama pada batu nesanya. Tidak juga ada kawasan rujukan untuk aku bertanya.


Jalan masuk ke Kawasan perkuburan Mahmoodiah


Akhirnya aku mengambil keputusan untuk masuk kedalam kawasan bangunan dalam gambar diatas yang menempatkan Makam makam untuk kerabat diraja Johor. Dalam bangunan diatas ditempatkan makam Sultan Sultan Johor seperti Sultan Ibrahim, Sultan Ismail, Sultan Abu Bakar dan kaum kerabatnya. Cantik didalamnya dengan karpet bersih, bauan harum dan bersih. Tiba tiba aku terpandang dibucu kawasan dalam bangunan makam ada seorang pakcik sedang duduk diatas lantai berkarpet. Dia sedang berehat agaknya. Aku pun menghimpit pakcik tersebut. Selepas memberi salam, terus aku bertanya "ada tak di dalam kawasan mahmoodiah makam bekas Sultan Negeri Perak". Pakcik tu termenung sekejap dan dia menjawap...."Tak ada!" Aisayman..!! Habis...! Dalam hati berkata kata, punah harapan nak mencari makam tersebut. Selanjutnya aku bertanya, "pakcik dah lama jaga kawasan makam ini", dia jawab," lama juga". Untuk menghilangkan kehampaan, aku pun berbual hal hal lain dengan pakcik tersebut. Akhirnya aku bertanya balik pada pakcik tersebut berkenaan hal makam Sultan Ismail tersebut, lalu dia cakap macam ini " cuba nengok pada makam yang berbumbung, kerana kebiasaanya makam makam orang yang ternama ada bumbung". Lalu dia menunjukan kearah sebelah luar kanan bangunan makam, katanya " makam tu kata orang, makam orang luar Johor". Lalu aku dengan pakcik tu pun sama sama berjalan menuju ke makam tersebut.



Kami pun berjalan menuju ke makam yang berbumbung genting berwarna coklat disebelah kanan luar bangunan makam seperti dalam gambar diatas.



Sampai saja, aku pun panjat lah tebing batu makam tersebut dan terus menunduk untuk membaca tulisan pada batu nesan tersebut.




Berderau darah aku....memang inilah makam yang aku cari dari tadi. Sah..! tulisan pada batu nesan tersebut tertulis "SULTAN ISMAIL, PERAK"



Inilah makam Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah, Marhum mangkat DiSekudai. Sultan Perak yang ke 25 yang dibuang negeri ke Johor.



Sumber gambar : http://www.geocities.com/aizaris


Carta diatas menunjukan kesemua Sultan Sultan didalam kesultanan Negeri Perak.
Sumber carta : http://sembangkuala.wordpress.com/
Nota : Pembetulan dalam carta diatas, DYAM Raja Ahmad Hisham adalah anak kepada Raja Abdul malik dan bukan anak kepada Raja Said Tauphy - Sembangkuala.wordpress.com


Alhamdullillah, niat aku nak cari makam Sultan Ismail dengan izin ALLAH SWT telah berjaya dan berjumpa. Kepada yang mencari makamnya, gambar dan keterangan diatas diharap dapat membantu. Semoga rohnya kekal aman abadi disana. Amin..!!

Sunday, July 26, 2009

Singapura, Selat Tebrau dan Johor bahru

3 gambar dibawah ini diambil dari tingkat 17 bangunan City Plaza, Johor Bahru. Permandangan bahagian timur bandaraya Johor bahru berlatarbelakang kan Selat Tebrau. Diseberang sana selat tersebut adalah Pulau Temasek atau Singa yang pandai berpura pura atau Singapura.

Kelihatan Ibu pejabat Polis jalan tebrau bersebelahan padang.


Gambar diatas adalah menghadap ke Pusat Kastam dan imigresen yang baru. "Flyover" diatas adalah menuju ke pusat Kastam dan Imigresen tersebut. Bumbung biru dan hijau adalah bumbung stadium Hoki MBJB.


Gambar diatas, perhatikan ada 2 menara yang berbelang putih dan merah, itu adalah stesen janakuasa tenaga elektrik, Singapura. Macam dekat ya..? Patut lah Mas Selamat boleh berenang aja...! Kalau naik bot menghala kehujung Selat tu boleh sampai ke Pasir Gudang.

Begitulah dekatnya Pulau Singapura dengan Johor Bahru..! Rasanya kalau dibuat jambatan mengantikan Selat Tebrau lagi murah dan senang daripada membuat jambatan dari Changi ke Pengerang yang panjangnya mungkin 3 - 5 kilimeter.

Thursday, July 9, 2009

Makam Sultan Mahmod Mangkat Dijulang diKampong Makam, Kota Tinggi, Johor.

video

Masih ingat lagi kisah Dang Anum, isterinya Megat Sri Rama atau Laksamana Bentan yang dibelah perutnya kerana Sultan Mahmod (atas fitnah pembesar pembesar disekelilingnya yang membenci Megat Sri Rama) mahu melihat benarkah anak yang dikandung olah Dang Anum memang mahu makan buah nangka atau mengidam mahu buah nangka? Dan mengikut ceritanya, setelah dibelah, memang anak yang dikandung nya sedang memegang seulas buah nangka.

Setelah matinya Dang Anum dan anak yang dikandungnya, dan sekembalinya Megat Sri Rama dari tugas dilaut melawan lanun, beliau telah menuntut bela atas kematian isteri dan anak yang dikandungnya dengan menikam Sultan Mahmod yang sedang dijulang diatas tandu dalam perjalanan kemasjid untuk sembahyang jumaat. Namun Sultan Mahmod masih sempat menyumpah 7 keturunan Megat Sri Rama tidak boleh menjejak kaki ke Tanah Kota Tinggi, Johor lalu membaling kerisnya dan terkena pada kaki Megat Sri Rama, lalu, bisa keris tersebut membawa kepada kematianya. Dikhabarkan orang yang tahu ceritanya, kalau sumpahan tersebut dilanggar, keturunan Megat Sri Rama akan muntah darah dan keturunanya itu perlulah keluar dari daerah Kota Tinggi untuk menghilangkanya. Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan, sumpahan 7 keturunan tersebut telah tamat lebihkurang 10 - 15 tahun dahulu.

Dengan kematian Sultan Mahmod, maka berakhirlah lah nasab dari keturunan sultan Melaka yang menjadi raja di Johor lama, dek kerana Sultan Mahmod masih bujang dan muda serta tiada baka semasa kematianya. Setelah itulah, Bendahara Johor lama, Tun Habab dan keturunannya telah mengambil alih pemerintahan Johor lama. Dibawah ini nasab dari Sultan terakhir Melaka hinggalah ke Sultan Mahmod mangkat Dijulang.

Didalam video diatas, Saudara dan saudari boleh juga melihat dibahagian luar bawah makam Sultan Mahmod dan keluarganya, terletak sebuah kubur berbatu nesan batu sungai. Itu adalah kubur Kucing Bertanduk. Semasa hidupnya, kucing tersebut adalah kucing kesayangan baginda. Mengikut ceritanya, kucing tersebut selalu berjalan diatas bumbung rumah, makan hanya sayur sayuran sahaja. Kucing tersebut akan menunjukan kelakuan luarbiasa jika ada terdapat bahaya atau musuh. Setelah kematian baginda, kucing tersebut telah merajuk dan tidak mahu makan dan telah mati tidak berapa lama kemudianya.

Didalam video diatas juga saudara dan saudari boleh melihat dibawah pokok besar berhampiran makam, terdapat kubur kubur lama yang telah dipindahkan kesitu dari kawasan berdekatan tapak masjid Jamek bersebelahan makam. Setelah masjid mahu dibesarkan pada akhir tahun 2006, banyak kubur kubur lama tersebut telah dipindahkan ke kawasan bawah pokok tersebut. Semasa kerja kerja pemindahan dijalakan, salah sebuah kubur telah dikorek dan didapati jasad yang menghuni kubur tersebut masih elok dan tidak hancur walaupun kubur tersebut adalah kubur lama. Kubur itu adalah kepunyaan Allahyarham Hj Yusuf Kampong, bekas imam pertama Masjid Jamek kampung Makam, Kota Tinggi. Mengikut cerita orang lama dikawasan tersebut, Allahyarham adalah seorang yang hafaz Al Quraan dan seorang yang berhati mulia semasa hidupnya.



Wednesday, July 8, 2009

Putaran Lawan Jam - Kebetulan Atau Fitrah NYA?


Assalamualaikum WBT kepada saudara dan saudari semua, semoga dilindungi Allah SWT, sihat sihat selalu dan selalu mendapat Hidayah daripadaNya. Tulisan pada kali ini menyentuh kepada perkara yang setiap hari dan saat berlaku didalam kehidupan seharian kita tanpa kita sedari dan fikirkan.

Setiap orang tahu bahawa pada setiap hari, matahari terbit dari arah timur. Bulan mengelilingi bumi. Bumi pula mengelilingi matahari. Planet planet musythari, zuhal, pluto dan lain lain juga mengorbit ataupun berputar menggelilingi matahari. Dan, semua planet planet ini, matahari, bumi terletak didalam Bima Sakti yang juga berputar dan mengorbit. Setiap saat, setiap detik, semua planat planet dan bumi akan tetap mengelilingi, berputar dan mengorbit matahari tanpa gagal, walaupun, sekali, walaupun sedetik pun. Semuanya tunduk pada perintah ILLAHI. Semuanya akur pada kehendak RABBI. Semuanya berzikir memuji Rabb nya dalam bentuk putaran....demi putaran...dan berputar tanpa henti..! Tidak ada yang berani melanggar perintahNya..!

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. - Surah Yaa Siin, ayat 40.


Adakah saudara dan saudari perasan, kearah manakah putaran atau pusingan bumi, bulan, matahari dan semua planet planet tersebut? Ya, benar..! Semuanya berputar kearah "Lawan jam" atau "anti clockwise". Adakah arah putaran ini adalah kebetulan atau Sang Pencipta Nya yang mengkehendakinya sedemikian??

Tidak kira, besar, kecil, jauh dan dekat....kesemuanya .....berputar kearah lawan jam. Tidak ada yang berputar kearah "ikut jam". Tidak ada...!! Kuasa manakah yang mengarahkan kesemuanya berputar kearah yang dikehendaki? Apakah yang akan terjadi jika satu sahaja dari berbillion billion planet ini berputar kearah yang salah?

Lihat lah asap atau debu yang sedang hendak bersatu membentuk planet baru dalam gambar diatas ini, berputar mengikut arah lawan jam.


Subhanallah..!! Lihatlah kekuasaan ALLAH SWT didalam gambar diatas, semuanya berputar kearah yang sama menurut perintahNya.





Begitu jua kita hamba hamba nya yang dijadikan tidak lain melainkan hanya untuk menyembah dan beribadah kepadaNya. Lihatlah gambar diatas, umat manusia berhimpun dan bertawaf di pusat bumi ini. Hamba hamba nya jua menurut perintah dengan tawaf dikeliling kaabah juga mengikut putaran arah lawan jam...! Itulah Fitrah..! Adakah arah putaran ini adalah kebetulan?




Pengikut Pengikut tarekat Mawlawi, anak murid Jallalluddin Al-Rumi diTurki mengamalkan "sema" ataupun zikir melalui tarian berputar untuk mencapai kesempurnaan atau fana. Tarian ini adalah berputar juga mengikut arah lawan jam...! Adakah putaran yang dilakukan itu adalah kebetulan???





Electron juga berputar dan mengorbit nukleus atom mengikut arah lawan jam...! Adakah arah putaran ini adalah kebetulan?







Didalam diri kita juga ada tanda tanda fitrah tersebut. Putaran darah didalam badan kita adalah juga mengikut arah putaran Lawan jam..! Dari gambarajah diatas;
a - Bahagian kanan atas jantung
b - Paru paru
c - Bahagian kiri jantung
d - Anggota badan yang mendapat bekalan darah
Bahagian gelap adalah mengandungi kurang oksijen (Oxygen poor) dan bahagian terang adalah banyak oksijen (Oxygen rich)





Video diatas ini adalah merupakan sperma dari kaum Adam semasa sebelum dapat memasuki telur didalam rahim kaum hawa. Sperma yang berjaya sampai diluar telur akan bergerak didalam putaran lawan jam..!! Adakah ini satu kebetulan..? Tidak, ianya berputar mengikut fitrahNYA.





Dan yang paling akhir dan kelakar sekali.....trek balapan untuk berlari juga lawan jam....!!!!!


Akan datang pada satu hari nanti, apabila terbit matahari dari sebelah BARAT bumi, maka, pada masa itu, tibalah kiamat..!! Pengakhirnya alam ini..!! Ini telah dijanjikan, dan pasti akan berlaku. Pada ketika itu, bumi telah berputar pada arah IKUT JAM..!

Marilah kita fikirkan dan hayati semua ciptaan dan kejadian ini. Adakah ianya kebetulan atau ianya adalah fitrah semulajadi yang diciptakan oleh Yang Menghidupkan dan Mematikan sebagai menunjukan WUJUDNYA DIA dan KEKUASAANYA DIA...!!!