Saturday, November 14, 2009

Padang Rengas & Pakcik Aku, Rashid Ali Bin Ngah Lamat

Padang Rengas adalah sebuah pekan kecil yang terletak ke utara bandar Kuala Kangsar, kira kira 7 Km melalui jalan lama ke Taiping. Pekan ini terletak didalam Mukim Kampung Buaia, dearah Kuala Kangsar. Tidak diketahui bilakah pekan ini dan mukim ini mula dibuka, tetapi kalau mengikut kisahnya, pekan ini telah lama dibuka kemungkinan sebelum tahun 1800 lagi. Didalam Pekan padang Rengas ini, terdapat banyak kampung kampung dan salah sebuahnya adalah Kampung Repoh, iaitu kampung Ayah dan Opah aku. Dikampung ini lah abang aku yang sulung dilahir dan dibesarkan. Opah aku berasal dari Sayong, Kuala Kangsar dan setelah berkahwin dengan datok aku yang berasal dari Sungkai, mereka telah membeli tanah dan membuat rumah dikampung Repoh tersebut. Opah aku mempunyai 5 orang anak, 2 lelaki dan 3 perempuan. Ayah aku, Shaharuddin Bin Ngah Lamat adalah yang bongsu.

Walaupun Padang Rengas adalah sebuah pekan yang kecil, kalau dok pusing kat pekan ini, 15 minit pun dah habis agaknya, tetapi disinilah kebanyakan aktiviti aktiviti kebangkitan menuntut kemerdekaan oleh orang orang Melayu yang berpendirian radikal dan berpegang kepada agama. Dengan adanya lebihkurang 7 - 8 sekolah sekolah sistem pondok dari Padang Rengas hingga ke Pekan Lubuk Merbau, kebangkitan dan kesedaran orang orang Melayu telah dibangkitkan, khususnya selepas perang dunia kedua. Kebangkitan orang orang Melayu selepas perang dunia kedua juga adalah disebabkan kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan semangat kebangkitan orang orang Indonesia menuntut kemerdekaan dari Belanda melalui senjata beserta kemerdekaan bersama negara Indonesia. Pekan Padang Rengas telah menyediakan tempat dan landasan untuk parti parti politik dan gerakan ini bergerak. Tuan Mokhtar Petah didalam blognya telah menulis berkaitan hal tersebut seperti dibawah:

Sama ada dari cerita-cerita lisan mahu pun catatan-catan sejarah; Padang Rengas adalah menjadi tempat awal berkembang perjuangan orang-orang Melayu atau umat Islam menuntut kemerdekaan tanahair. Perkembangan itu telah bermula dari tahun 1800 lagi kerana kawasan itu mempunyai kawasan sawah padi yang luas dan terkenal sebagai ’jelapang padi’, di samping itu dusun buah-buahan juga luas. Gua di Gunung Pondok telah menjadi tempat ahli-ahli suluk atau tarikat mengerjakan amal ibadat mereka. Orang-orang yang bertapa kerana menuntut ilmu kesaktian yang datang dari Tanah Jawa dan Sumatera telah mengunakan gua-gua dalam gunung itu sebagai tempat mereka bertapa. Selain dari orang-orang dari Sumatera dan Pulau Jawa telah datang bertapa di Padang Rengas, maka ramai pula orang-orang alim dan politikus-politikus di Tanah Melayu dan dari Sumatera dan Pulau Jawa yang telah datang ke sana untuk mengembangkan ilmu pengetahuan Islam dan menyebarkan semangat perjuangan untuk menuntut kemerdekaan tanahair.

Pejuang-penjuang kemerdekaan Tanah Melayu, di antaranya Dr Burhanuddin Helmi, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh sering datang ke sana untuk menggerakkan perjuangan mereka. Seorang tokoh diplomatik dan pakar membuat senjata lepasan Universiti Istanbul, Turki, Yusuf Helmi Alfian bersama beberapa orangnya telah datang ke Padang Rengas untuk mengajar membuat senjata dan taktik perang gerila kepada sebilangan ahli-ahli Angkatan Pemuda Insaf (Api).

Aku tidak hendak menceritakan lebih lanjut dan secara terperinci berkenaan kebangkitan tersebut, saudara dan saudari boleh membacanya sendiri dari buku buku dan halaman web. Apa yang aku hendak sampaikan disini adalah berkaitan dengan Allahyarham Pakcik aku, beliau adalah abang kepada arwah ayah aku dan namanya adalah Rashid Ali Bin Ngah Lamat. Banyak cerita mengenai beliau semasa muda yang aku tidak tahu dan arwah ayah aku dan makcik makcik aku juga tidak banyak bercerita mengenai kisah kisah lama beliau.

Semasa aku membaca blog Tuan Mokhtar Petah dalam link berikut : http://mokhtarpetah.blogspot.com/2009/09/mengenang-masa-silam_23.html
aku terjumpa nama pakcik aku, Rashid Ali disebut seperti sedutan dibawah;

Pada masa itu jalan dari pekan Padang Rengas ke Kampung Lalang dan Kampung Laneh masih tanah merah dan pasir. Di kawasan bawah Gunung Pondok dan dekat stesen keretapi terdapat lebih lima belas rumah kedai setingkat. Kira-kira dua bulan aku belajar di Madrasah al Yahyawiyah, aku telah bergaul dengan beberapa orang pemuda Melayu ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) di Padang Rengas. Mereka itu terdiri dari orang-orang yang belum ditangkap oleh pihak Kerajaan Inggeris. Di antara mereka itu, ialah Rashid Karim, Rashid Ali, Ismail Punjab dan Zainuddin Andika (seorang tukang kayu yang pandai membuat senjata api).

Rasa ingin tahu telah menyebabkan aku mencari lebih lanjut lagi, namun tidak berjumpa data bertulis mengenai beliau hinggalah 2 minggu lepas aku terjumpa lagi nama beliau didalam didalam satu analisis yang telah dibuat oleh Tuan M.A. Fawzi Basri berjudul Perak sebelum dan selepas perang dunia kedua : Satu analisis tentang nasionalisme orang melayu. Beliau menulis dari Sekolah Pengajian Asasi, UUM. sedutan dari penulisan beliau tersebut telah menyebut nama Rashid Ali sebagai Ketua I, API Padang Rengas.

Analisis oleh Tuan Fawzi boleh didownload dari link berikut : http://eprints.uum.edu.my/610/1/Perak_Sblm_dan_Slps.pdf

Cerita lanjut mengenai Angkatan Pemuda Insaf (API), boleh dibaca disini http://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Pemuda_Insaf

Setelah pengharaman API, ramai pejuang pejuang yang bukan sahaja dari API malahan dari AWAS, PKMM dan lain lain gerakan telah ditangkap dan dipenjarakan tanpa bicara dibawah undang undang dharurat 1948. Pakcik aku telah ditangkap tanpa bicara selama 8 tahun dan sepanjang 8 tahun tersebut beliau telah dipenjarakan dibeberapa tempat seperti di Ipoh, Tanjung Beruas, Melaka, Pulau Jerejak dan Taiping. Selama 8 tahun juga lah isteri beliau dan seorang anak kecilnya dan Opah aku menanggung derita.

Pihak pentadbiran British begitu takut akan pengaruh parti parti politik yang berhaluan kiri ini dan juga kebangkitan orang orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan melalui senjata dan kekerasan. Didalam perancangan British, Tanah Melayu boleh dimerdekakan tetapi mestilah parti politik yang menang dan pemerintahnya mendengar kata dan arahan British, walaupun setelah negara kita merdeka. Dan bagi orang orang Melayu yang radikal dan berhaluan kiri, ini adalah tidak selaras dengan dasar dan kehemdak perjuangan mereka.

Setelah habis menjalani tahanan selama 8 tahun, pakcik aku telah tidak melibatkan diri secara aktif didalam mana mana parti politi, mungkin kerana syarat perjanjian pembebasan beliau yang mengkehendakinya begitu. Tetapi sewaktu aku kecil dahulu, dalam tahun 70an, aku masih ingat lagi apabila arwah pakcik aku datang ke rumah ayah aku diKuala Lumpur, dia akan bermalam di rumah Allahyarham Dato Asri pada malam berikutnya di Stapak.

Itulah dia Allahyarham Rashid Ali Bin Ngah Lamat, pakcik aku, yang ingatan aku mengenai nya tidak berapa jelas disebabkan beliau telah meninggal dunia semasa aku masih kanak kanak lagi. Arwah adalah seorang yang penyayang dan peramah. Yang aku pasti semangat pahlawannya cukup kuat sekali.